PETALING JAYA: Pelawak Amir (Raja Lawak) mendedahkan telah
menemui cinta hati selepas kecewa dengan lima wanita yang cuba mengambil
kesempatan dan mempermainkan perasaannya sebelum ini.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 25, berkata, dia
digilai oleh dua orang wanita yang tinggal di Kuala Lumpur selepas
mereka berkenalan melalui aplikasi sosial WeChat iaitu ‘people nearby’
dan ‘shake’.
“Saya mengaku sekarang ini ada dua orang wanita yang ‘gilakan’ saya.
Dua-duanya orang KL (Kuala Lumpur). Kami kenal melalui WeChat. Saya
mengaku saya sukakan mereka,” katanya kepada
mStar Online.
Dalam laporan portal ini tidak lama dulu, Amir membuat pendedahan
dikecewakan lima wanita termasuk seorang yang bekerja sebagai jururawat.
Kelima-lima mereka menggunakan Amir untuk mengambil kesempatan menyebabkan dia serik untuk terus jatuh cinta.
Dalam pada itu pemuda yang berasal dari Kubang Kerian, Kota Baharu,
Kelantan ini berkata, perkenalannya dengan dua wanita berkenaan yang
masing-masing berumur 20 dan 23 tahun, pada peringkat mengenali hati
budi masing-masing sebelum dia memilih calon terbaik untuk dijadikan
teman istimewa
Katanya, kedua-dua wanita itu juga turut meluahkan perasaan mencinta
Amir termasuklah menghantar mesej-mesej berbau sayang setiap masa.
“Di antara mereka berdua, saya akan pilih yang mana satu paling baik.
Saya mahu wanita yang faham kerjaya saya dan tidak cepat merajuk.
Kedua-dua mereka cukup istimewa kerana seorang tu kurus dan seorang
lagi agak comel. Buat masa ini hati saya lebih terbuka kepada yang
comel,” ujarnya.
Bagaimanapun menurut Amir, disebabkan ketiadaan kerjaya tetap dan
mengharapkan pendapatan sebagai pelawak, dia belum memutuskan untuk
berumah tangga dalam masa terdekat.
Bercerita mengenai kerjaya, Amir berkata dia lebih banyak dijemput
menjadi pengacara untuk majlis-majlis tertentu yang kerap kali
dikendalikan bersama pelakon Bell Ngasri.
Walaupun pendapatannya tidak menentu namun dia tidak pernah berkira
dengan bayaran yang bakal diberikan penganjur bagi mengendalikan
sesebuah majlis.
“Saya tak ‘demand’ pun. Biasanya untuk satu-satu majlis, kalau
diberikan bayaran dalam RM3,000 pun saya ambil. Jumlah tu kalau tinggi,
boleh dibincangkan lagi. Apa yang penting saya dapat pekerjaan untuk
menyara hidup,” katanya.
sumber : mystar.com.my
.....
Komen aku, no komen....